Powered by Blogger.

[ c l o s e ]

Belanja RM320 ribu untuk FB, Twitter dipersoal

on Friday, 4 October 2013


Ketua audit negara mempersoalkan bayaran sebanyak RM320,000 oleh kementerian kesihatan kepada dua syarikat untuk dua kempen dalam talian menerusi Facebook dan Twitter. Perbelanjaan itu yang dibuat sewaktu kementerian itu diterajui Datuk Seri Liow Tiong Lai sebahagiannya adalah bayaran sebanyak RM199,068 kepada Eficaz Media Sdn Bhd untuk laman Facebook kempen 'Tak Nak Merokok'.



Laman Facebook kedua dan akaun Twitter yang dibangunkan Astonish View Sdn Bhd untuk 'Kempen intervensi penyakit tidak berjangkit' pula menelan belanja RM120,500. Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu mengulas skop dua tugas yang hampir sama itu tetapi menyaksikan Astonish View dibayar RM120,500 untuk membangunkan akaun Facebook dan Twitter itu.


Sementara, Eficaz Media pula dibayar jumlah yang lebih tinggi hanya untuk membangunkan satu laman Facebook. Laporan itu maklum bahawa Eficaz Media dilantik untuk gtempoh Julai sehingga Disember 2011 dan bayaran penuh dibuat berdasarkan jumlah 'Likes' yang diperolehi laman itu, yang ditetapkan sebanyak 100,000.

RM38,000 rugi akibat kempen 'bodoh'

Keputusan Kementerian Kesihatan menggelar perokok sebagai golongan “bodoh” dalam bahan promosi kempen menyebabkan RM38,750 terbuang apabila bahan tersebut didapati tidak sesuai. 
Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati kementerian tersebut membuat pesanan bagi 300 beg galas dengan kos RM19,500 dan 3,500 buku nota pada harga RM19,250 dengan slogan 'Smoking, a stupid habit for stupid people (Merokok, satu tabiat bodoh untuk orang bodoh)'.


Bahan tersebut bagaimanapun tidak diedarkan kerana bahasa yang digunakan itu dianggap tidak sesuai, menurut laporan berkenaan. Tapi bukan itu sahaja, laporan itu menyebut sebanyak 63,000 kempen kementerian terbabit, berjumlah lebih RM31,200 juga mengandungi kesalahan ejaan.


Ketua Audit Negara menasihatkan kementerian tersebut untuk menggunakan bahasa lebih mudah dalam kempennya, dengan mengambil contoh satu kempen papan iklan bagi memerangi AIDS yang menggunakan terjemahan langsung dari bahasa Inggeris. Laporan itu mendapati, terjemahan berkenaan – “Ke arah eliminasi transmisi vertikal” – sukar difahami dalam bahasa Melayu.


Menurut laporan itu lagi, penggunaan bahasa seperti itu menjejaskan keberkesanan kempen kesihatan tersebut. Frasa yang dimaksudkan itu sepatutnya merujuk kepada jangkitan oleh ibu kepada anak. Kementerian berkenaan dalam jawapannya menyebut, satu pasukan redaksi dilantik untuk memeriksa kesemua bahan kempennya dan akan turut mendapatkan nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© $h@hd0tc0m All Rights Reserved